Selamat Maju Jaya!

Hampir seminggu berada di Kem Dato’ Sagor , Kampung Gajah 17 Jun hingga 21 Jun 2008 memberi sedikit kesempatan kepada saya untuk menilai kesungguhan dan komitmen pihak penganjur dan semua pihak yang terlibat menjayakan Kem KPerak Kidz 2008 bagi Daerah Kinta. Secara jujur berani saya katakan bahawa kem ini memang menepati matlamat dan objektifnya. Kemahiran murid-murid dalam bidang komputer dan ICT memang dapat dipertingkat. Murid-murid kelihatan “teruja” setiap kali mengikuti aktiviti yang dijalankan tidak kira aktiviti dalam keluar ataupun di luar kelas. Ekoran kewujudan “teruja” ini, saya selaku salah seorang guru pengiring merangkap peserta kursus ingin mengucapkan tahniah kepada Pengurus Program iaitu Cik Fauziah dan rakan-rakan fasililatornya yang saya kira sangat berjaya menjalankan tugas dan amanah yang diberikan kepada mereka.

Saya dapat melihat mereka sebagai satu kumpulan yang sangat mantap, sentiasa bekerjasama, komited, sentiasa ceria dan berusaha bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada para peserta.

Saya dan rakan-rakan guru sentiasa memberikan sokongan penuh. Ketika sesi pembinaan blog misalnya, biarpun saya dan rakan-rakan telah mempunyai pengalaman membina blog dan telahpun mempunyai blog kami sendiri, itu semua tidak menjadi halangan untuk kami belajar bersama-sama murid-murid kerana kami tertarik dengan pendekatan yang mereka bawa iaitu ‘sama-sama berkongsi ilmu’. Saya dan rakan-rakan sentiasa berlapang dada menerima apa yang disampaikan bahkan kami menyokong penuh segala aktiviti yang mereka laksanakan. Kesungguhan yang dimiliki oleh mereka ini seolah-olah menyerlahkan dan membangkitkan jiwa ‘pendidik’ dalam diri mereka. Saya sebenarnya sangat berterima kasih kerana diberi peluang oleh KPerak INC Corporation untuk membawa murid-murid berkursus di sini. Tahniah sekali lagi buat KPerak INC Corporation, kumpulan fasilitator yang menguruskan program ini dan semua pihak yang berkaitan sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Semoga program sebegini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang. Teruskan usaha murni kalian. Hidup ini ladang juang maha hebat,maha gawat. Kitalah pendaki ulung memetik kuntum gunawan di puncak makramat.

Ikhlas daripada :

EN. ABU BAKAR BIN MAT SOM

SJK(T) Ladang Chemor,

31200 Chemor,

Perak Darul Ridzuan.

 

Klik SINI untuk melihat gambar-gambar aktiviti yang lain.

Kem KPerak Kidz 2008

Program ini merupakan program anjuran KPerak Inc. Corporation dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Perak ,Yayasan Perak dan Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli.

Program celik ICT ini bermula dari 17 Jun hingga 21 Jun 2008. Murid-murid sekolah luar bandar dari daerah Kinta telah dijemput untuk menjadi peserta kem ini. Setiap sekolah perlu menghantar enm orang peserta dan dua orang guru pengiring. Selama lima hari empat malam, para peserta termasuk guru pengiring akan diberi pendedahan berkaitan komputer dan ICT.

Kenyataan yang tidak dapat ditolak ialah, kursus ini telah memberi manfaat yang sangat besar kepada murid-murid sekolah luar bandar kerana sebahagian daripada mereka masih belum mendapat pendedahan meluas tentang penggunaan komputer dan ICT sebelum ini. Hal ini mungkin disebabkan kekurangan kemudahan komputer dan ketiadaan akses internet.

 

Lihat banyak lagi gambar menarik di SINI